Friday 31 May 2024

SOALAN-SOALAN LAZIM (Q & A)

1. BAGAIMANA CARA UNTUK MENUBUHKAN PERTUBUHAN YANG MENJALANKAN PROGRAM PDK?

i. Pertubuhan PDK boleh ditubuhkan atas keperluan dan daripada mana-mana komuniti setempat dengan mendapat sokongan dan kelulusan daripada JKM.

ii. Pewujudan PDK hendaklah mengambil kira perkara berikut:-

a. Bilangan OKU
Mempunyai sekurang-kurangnya 10 OKU yang memerlukan pemulihan di sesuatu komuniti. 

b. Lokasi PDK
Lokasi PDK mestilah di dalam kawasan komuniti yang strategik serta mudah diakses oleh OKU dan keluarga.

c. Pemilihan Premis
Hendaklah mesra OKU dan sesuai dengan program dan aktiviti yang hendak dijalankan seperti mempunyai kemudahan, bebas halangan serta patuh Akta/Peraturan Pusat Jagaan. Pengendali perlu mendapat kelulusan 3 agensi teknikal: Pihak berkuasa Tempatan (PBT), Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Jabatan Kesihatan. Kadar sewa pula hendaklah mendapat syor daripada Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta. 

d. Komuniti Penggerak / Jawatankuasa Penaja
Individu atau kumpulan dalam komuniti yang mempunyai minat dan komitmen serta boleh menyumbang kepada pelaksanaan PDK.

e. Nasihat oleh PKMD/PKMN
Mendapatkan pandangan dan nasihat daripada PKMD mengenai pewujudan dan pelaksanaan PDK.

f. Berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS)
Memilih nama Pertubuhan yang sesuai seterusnya Jawatankuasa membuat pendaftaran di RoS.

g. Membuka akaun bank Pertubuhan
Jawatankuasa perlu membuka akaun bank untuk memohon Bantuan Kewangan Kerajaan bagi melaksanakan program PDK.

_________________________________________________


2. ADAKAH PELATIH OKU MENDAPAT CUTI SEMESTER DI PUSAT PDK?

PPDK sebagai majikan berhak menentukan hari cuti bagi penyelia/petugas/pelatih mereka berpandukan AKTA KERJA 1955 (PINDAAN) 2022 . Jabatan Kebajikan Masyarakat tiada halangan berhubung penutupan Pusat PDK bersempena cuti semester yang termasuk dalam hari-hari kelepasan yang diperuntukkan oleh pihak PPDK. Bagaimanapun, pihak PPDK dimohon untuk memastikan kehadiran pelatih-pelatih OKU memenuhi syarat-syarat bayaran Elaun Khas Pelatih OKU iaitu kehadiran pelatih OKU di pusat PDK sekurang-kurang lapan (8) hari dalam sebulan manakala petugas perlu membuat lawatan ke rumah sekurang-kurangnya empat (4) kali dalam sebulan bagi pelatih OKU di rumah. Kegagalan mematuhi syarat-syarat tersebut boleh mengakibatkan penamatan perjanjian yang sedang berkuat kuasa dan menjejaskan penyaluran Bantuan Kewangan Kerajaan pada masa hadapan.

SOALAN-SOALAN LAZIM (Q & A)